Friday, September 4, 2009

Legenda Danau Kubang

Oleh Mohd Azis Ngahmailto:Ngahazis@bharian.com.my

SUNGAI yang dikatakan menjadi laluan persinggahan Hang Tuah dan Tun Teja.
Hang Tuah dipercayai memberi sirih penawar kepada Tun Teja supaya melupakannya demi Sultan Melaka KIRA-KIRA 400 tahun dulu, ketika zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka, hulubalang tersohor, Laksamana Hang Tuah memang diakui antara rakyat yang cukup taat setia kepada Sultan, sanggup melakukan apa saja kerana berpegang kepada prinsip iaitu tidak sesekali menderhaka. Satu daripada tugasan yang berjaya dilaksanakan Hang Tuah ialah membawa pulang Tun Teja dari Pahang untuk diserahkan kepada Sultan Melaka.

Misi besar itu sebenarnya lebih kepada sifat perasaan kasih sayang, cinta antara Tun Teja dan Hang Tuah, jauh berbeza daripada tugasan sebelum ini mempertahankan negara serta banyak terbabit dengan peperangan melawan lanun dan penceroboh. Menyingkap sejarah ringkas perjalanan Hang Tuah ke Pahang suatu ketika dulu, rombongan Melaka itu berperahu menyusuri sungai Muar menuju ke Pahang kerana sungai itulah yang menghubungkan Pahang dengan Negeri Sembilan. Sungai Muar yang berakhir di Ulu Bendol akan bertembung dengan Sungai Serting yang menghala ke arah Sungai Pahang tetapi mesti melalui satu kawasan yang dinamakan penarikan, iaitu tempat menarik perahu.
POKOK sirih ditanam sebagai simbolik hubungan Hang Tuah dan Tun Teja yang berjaya dipisahkan.
Tempat penarikan itu terletak di persimpangan Sungai Jempol, lokasi paling hampir dengan Sungai Pahang. Itu cerita ringkasnya, tetapi yang ditekankan di sini ialah tempat persinggahan Hang Tuah ketika dalam perjalanan pulang ke Melaka. Selepas berjaya membawa Tun Teja keluar dari Pahang, rombongan Hang Tuah pernah singgah bermalam di satu kawasan iaitu Danau Kubang, terletak kira-kira tiga kilometer dari pekan Gemas, Negeri Sembilan. Di situlah Hang Tuah dikatakan memetik daun sirih untuk diberi makan kepada Tun Teja supaya melupakan perasaan sayangnya kepada hulubalang Melaka itu, sebaliknya bersedia untuk dibawa ke istana Sultan Melaka. Tempat perkhemahan rombongan Hang Tuah di tebing sungai di Danau Kubang itu, kini dijadikan tapak perkhemahan pengakap sekolah berdekatan sejak 10 tahun lalu.
KAWASAN perkhemahan Taman Rekreasi Danau Kubang, Negeri Sembilan.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kebajikan (JKKK) Kampung Londah, Abdul Shukor Bachik, 65, mendakwa berdasarkan cerita lisan turun temurun penduduk di situ, kawasan tebing sungai Muar itu memang banyak pokok sirih. “Hang Tuah memberikan sirih ‘penawar hati’ kepada Tun Teja supaya kasih sayangnya pada hulubalang Melaka itu berkurang. Memang tujuan asal misi Hang Tuah ke Pahang ialah mempersembahkan Tun Teja kepada Sultan. “Cerita lisan mengatakan, ketika bertemu Tun Teja di Pahang, Hang Tuah memberikan ‘sirih pengasih’ kepada Tun Teja dan berjaya memujuk puteri itu mengikutnya ke Melaka. Di sinilah (Danau Kubang), kasih Tun Teja berubah selepas memakan sirih penawar. “Daun sirih ini banyak gunanya. Orang dulu menggunakan sirih sebagai tangkal, pembuka kata untuk majlis rasmi, sirih pengasih dan sirih penawar,” katanya. Sebagai memperingati tempat bersejarah itu, penduduk setempat dengan kerjasama Pejabat Daerah Gemas menjadikan kawasan itu sebagai tapak perkhemahan aktiviti kokurikulum sekolah terutama pengakap. Selain itu, mereka turut menanam pokok sirih sebagai simbolik peristiwa berkenaan yang mengaitkan pemberian sirih kepada Tun Teja. Tidak jauh dari kawasan itu, pernah wujud satu kampung berhampiran Kuala Merencheh yang terletak berhampiran kawasan pertemuan Sungai Muar dan Sungai Merencheh. Abdul Shukor berkata, penduduk kampung di situ berpindah ke kawasan pekan selepas diserang komunis yang bertindak kejam terhadap penduduk kampung yang enggan memberikan kerjasama kepada pergerakan mereka. “Komunis pernah membakar sebuah rumah termasuk tiga beranak di dalamnya kerana mereka enggan memberikan bekalan makanan. Ahli keluarga dan penduduk yang hidup melarikan diri ke pekan. Tapak rumah itu serta pokok tanaman seperti manggis masih ada di situ,” katanya. Penolong Pegawai Daerah Gemas, Mohd Khairul Zami Khairuddin, berkata kawasan tapak perkhemahan Danau Kubang itu dilengkapi pelbagai kemudahan bertujuan menggalakkan lebih ramai generasi muda mengadakan aktiviti berfaedah di kawasan berkenaan. Selain berkhemah, antara aktiviti lain yang sering diadakan di situ ialah berkayak, berakit, memancing dan menangkap ikan menggunakan tangan atau popular sebagai ‘mengocah’ di kalangan penduduk. Pada masa sama, peserta program juga ditekankan mengenai maklumat bersejarah di situ bertujuan menyedarkan bahawa kawasan itu pernah menjadi laluan penting melalui jalan air suatu ketika dulu serta kepentingan memelihara alam semula jadi. Info Asal Danau Kubang
· Danau ialah lubuk
· Kubang ialah tempat rusa berkubang
· Londah ialah istilah setempat merujuk kepada laluan kumpulan gajah.
· Kawasan itu adalah laluan utama kumpulan gajah dari Johor menuju ke Pahang.

Asal usul Gemas






Oleh Mohd Azis Ngah dan Nor Shahfizan Hasimmailto:Hasimbminggu@bharian.com.my



Terowong yang menjadi laluan pelombong emas.
Dipercayai cantuman perkataan Inggeris 'gold' dan omeh (emas) serta loghat Negeri Sembilan 'gomeh' yang bermaksud gua emasPERTAMA kali menjejakkan kaki ke Gemas, Negeri Sembilan, banyak mengubah persepsi awal mengenai bandar kecil ini, apatah lagi tempat bersejarah itu cukup tenang, aman dan penduduknya ramah serta mudah mesra. Dari segi sejarah, Gemas menjadi titik pertemuan penting laluan Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) menghubungkan pantai timur dan pantai barat Semenanjung. Stesennya dibina sejak 1992 masih beroperasi hingga sekarang dan itu cuma sebahagian daripada seribu kenangan dan sejarah negara.

Kedudukannya bersempadan dengan Johor dan Pahang dianggap strategik, bahkan ada yang menggelarnya Segi Tiga Emas. Bukan setakat Segi Tiga Emas, bandar kecil ini juga sebenarnya mendapat nama sempena sejenis logam kuning yang mahal harganya iaitu emas. Ada yang mengatakan nama Gemas bermula apabila orang Inggeris berhujah dengan orang tempatan mengenai nama logam. Orang Inggeris menamakan ‘gold’ tetapi penduduk mengatakan ia ‘omeh’ dan gabungan kedua-duanya menjadi Gomeh sebelum ejaannya dimuktamadkan sebagai Gemas.



Batang besi dipercayai pahat melekat dipermukaan dinding gua.
Penduduk tempatan mengatakan ia sebenarnya dinamakan sempena penemuan tempat lombong emas di sebuah gua yang mereka namakan ‘Gomeh’ (gua emas). Apa pun ia sebenarnya berkaitan dengan penemuan logam emas. Kedua-duanya saling berkaitan dan mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa gua emas itu memang wujud, cuma ia sebenarnya adalah bekas tapak lombong emas yang terletak di sebuah bukit. Teori awal yang mengaitkan perdebatan mengenai emas itu memang logik kerana diakui, pelombong asalnya ialah orang Inggeris yang bekerjasama dengan penduduk tempatan. Berikutan penemuan lombong emas itu, nama Gemas terus popular dan ditukar menggantikan nama asal iaitu Ayer Terap yang diambil sempena anak sungai berhampiran Rumah Rehat Gemas. Gua emas itu terletak Bukit Jalor, kira-kira lima kilometer dari Simpang Dua. Kedudukannya di atas bukit dikelilingi kebun getah dan memerlukan pengunjung mendaki bukit kira-kira 500 meter untuk sampai ke lokasi.
Lubang peninggalan pelombong emas yang dipercayai mati tertimbus.

Tempat ini belum diteroka sepenuhnya tetapi kini Pejabat Daerah Gemas dengan kerjasama penduduk setempat menjadikannya sebagai tarikan baru pelancongan yang dimasukkan antara produk pakej homestay atau inap desa. Wartawan Berita Minggu berpeluang memasuki gua itu bersama penduduk, diiringi pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Gemas serta dua penolong pegawai daerah, Mohd Khairul Azmi Khairuddin, 26, dan Mohd Khatib@Fazri Amran, 25. Terlalu banyak lubang di puncak bukit dipercayai antara lubang angin bersambung dengan lombong. Kedudukannya yang agak tertimbus membahayakan pengunjung dan mereka harus bergerak mengikut arahan dan tanda amaran yang dilekatkan oleh bomba dan penyelamat. Sebaik mendaki peringkat pertama ke puncak, kami menemui dua lubang utama, lapisan bawahnya berlapis tidak rata dan boleh kelihatan kelawar berterbangan.
Kedalaman dianggarkan 50 meter dan kemungkinan ia lubang angin yang bersambung dengan gua. Pegawai Bomba Kanan II, Gazali Maslan, membawa kami menuruni bukit menuju ke pintu gua. Tiga lagi anggotanya, Bakhtiar Jamaludin, Yahya Shamsudin, Khairulnizam Yusof sudah menunggu di sana kerana mereka melalui laluan bawah ke pintu gua dengan membawa peralatan keselamatan. Ketua Kampung, Baharin Yusup, 68, membacakan doa selamat sebelum kami memulakan perjalanan dan sebaik menjejakkan kaki ke dalam gua, kami disambut deruan bunyi kelawar berterbangan. Sepanjang dinding gua itu dipenuhi dengan kesan ketukan dipercayai menggunakan pahat besi untuk melombong tetapi aliran coraknya cukup teratur atau sehala. Dinding itu dipenuhi pepijat gua yang saiz dua kali lebih besar daripada pepijat rumah. Sepanjang perjalanan dianggarkan sejauh satu kilometer itu, kelihatan beberapa terowong kecil menghala ke atas dan bawah. Laluan ke atas kemungkinan adalah lubang angin dan terowong ke bawah kemungkinan bersambung dengan aliran sungai bawah tanah. Pada satu lubang kecil menghala ke bawah kelihatan air yang cukup bersih. Satu lagi mempunyai anak tangga tetapi semuanya menjadi syurga kelawar. Ribuan kelawar berterbangan sebaik saja limpahan lampu suluh menghala ke arah haiwan berkenaan. Beberapa persimpangan ditandakan dengan pelekat keselamatan sebagai amaran supaya pengunjung tidak memasuki laluan berkenaan kerana berbahaya dan jelas ada antaranya kelihatan kesan tanah runtuh. Mungkin rezeki, ketika tiba di penghujung laluan, kami ternampak satu batang besi dipercayai pahat yang terbenam hampir separuh pada dinding gua. Sebelum ini, pahat itu belum pernah ditemui pengunjung. Penemuan itu menguatkan lagi teori penggunaan pahat untuk melebarkan dinding lombong.
Seorang penduduk yang mengikuti rombongan kami, Abd Halim Dolah, 56, secara berseloroh berkata, jika sesiapa yang berjaya mencabut pahat itu, kemungkinan hajatnya dimakbulkan. Penemuan itu membuktikan kaedah melombong di situ menggunakan pahat dan kedudukannya berhampiran anak sungai menggambarkan proses membersihkan batu pecah dilakukan di tepi sungai. 40 pelombong dipercayai tertimbus DI PUNCAK bukit bersebelahan bukit menempatkan gua emas, ada lubang segi empat yang cukup besar. Berdasarkan cerita lisan, di situlah 40 pelombong pelbagai bangsa tertimbus dan sehingga sekarang tiada sesiapa pernah masuk ke lubang berkenaan. Saiznya selebar enam kaki dengan kedalaman yang boleh dilihat kira-kira 150 kaki, dipercayai laluan utama tempat operasi mengeluarkan emas yang menggunakan sistem seperti mengeluarkan air daripada perigi. Bagaimanapun, usaha mengesan kesan tinggalan termasuk tapak simen atau besi tidak berhasil. Pegawai Bomba Kanan II, Gazali Maslan, berkata sehingga kini, lubang itu belum pernah diteroka kerana ia cukup berbahaya dan memerlukan peralatan serta kos tinggi untuk masuk ke dalamnya. “Cukup dalam dan kami percaya ia sudah banyak tertimbus. Mungkin lebih dalam daripada apa yang kita nampak. Berdasarkan cerita lisan, 40 pelombong mati tertimbus di situ. Mungkin jika diteroka, rangka mereka boleh ditemui,” katanya. Sebelum itu, sepanjang perjalanan keluar dari bukit pertama ke bukit kedua, kami menemui longgokan batu bata bersegi empat di satu kawasan. Ia dipercayai tinggalan aktiviti perlombongan dan turut ditemui satu piring besi bulat berlubang di tengah. Kira-kira 10 meter dari situ, kami melihat beberapa batang cerucuk besi yang hampir terbenam di dalam tanah. Kedudukannya yang terletak pada satu barisan kelihatan menghala ke arah satu lubang besar yang hampir tertimbus. Penolong Pegawai Daerah, Mohd Khairul Azmi Khairuddin, 26, menjelaskan sejak menerokai kawasan itu, mereka tidak pernah menemui cerucuk besi berkenaan.
“Kami percaya banyak lagi kesan tinggalan akan ditemui jika meneroka lebih teliti di kawasan sekitar. Kawasan ini akan dikomersial untuk pelancongan tanpa menjejaskan ekologi dan alam semula jadi. Biarkan kawasan ini kelihatan seperti asal, cuma perlu ditambah aspek keselamatan. “Buat masa ini, mungkin sukar untuk membuat kajian akademik tetapi ia bukan mustahil jika terdapat mana-mana pengkaji tempatan yang berminat. Kami akan mempromosikan tempat ini dengan pemantauan ketat untuk menjaga keasliannya,” katanya. Penduduk kampung, Baharin Yusup mengakui walaupun gua itu terletak berhampiran tempat tinggal mereka, itu adalah kali kedua beliau menjejakkan kaki ke sana. “Tidak ramai penduduk yang pernah ke sini, bahkan mungkin ada yang tidak tahu lokasi sebenarnya. Kami yakin, kawasan ini mampu menjadi tarikan pelancongan,” katanya.
INFO: Lombong Gua Emas
· Berusia hampir 100 tahun
· Dibuka pada awal 1920-an dan ditutup pada 1942 ketika Perang Dunia Ketiga.
· Jaraknya dari Kuala Lumpur dianggarkan 165 kilometer.
· Saiz terowong lombong (tiga kaki lebar dan 6 kaki tinggi) .
Sejarah ringkas Gemas
· Penduduk asal berketurunan orang Melayu Asli
· Ditadbir seorang ketua iaitu Datok Sabun, berasal dari Minangkabau yang berhijrah bersama dengan angkatan ke Seri Menanti.
· Mula membuka kampung di Kampung Ladang.
Tip memasuki gua emas
· Memakai kasut getah panjang kerana laluannya air bercampur tahi kelawar.
· Membawa lampu suluh.
· Mesti diiringi pasukan keselamatan.
· Patuhi arahan dan tanda keselamatan di dalam dan sekitar gua.

Penjejak Bukti









JIKA CSI Las Vegas berbangga dengan ketelitian Gil Grissom, CSI: Miami boleh mengharapkan kepakaran Horatio Caine dan Mac Taylor menjadi tonggak kekuatan CSI: NY, Malaysia tidak ketinggalan berada dalam kelas tersendiri dengan wujudnya CSI Bukit Aman atau dikenali secara rasmi sebagai Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2001. Lebih menarik apabila kakitangan di Makmal Forensik itu tidak perlu menghafal skrip atau mencipta persekitaran jenayah untuk membolehkan unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI) bergegas mengumpul bukti kerana saban hari mereka dihidangkan dengan kejadian sebenar yang mencabar kemampuan dan kesungguhan anggota pasukan CSI.

Ia sama sekali berbeza dengan ketiga-tiga siri penyiasatan suka ramai itu yang perlu tampil setiap minggu dengan rekaan kes jenayah menarik serta memasukkan fiksyen bagi menyedapkan cerita demi mencatatkan kadar penonton tertinggi. Juruanalisis Seksyen Tempat Kejadian Jenayah Makmal Forensik PDRM, Asisten Superintendan Zuraimi Zam Zam, berkata Makmal Forensik itu diwujudkan, pertamanya bagi membantu pegawai penyiasat (IO) menyiasat kejadian jenayah secara saintifik dan lebih bersistematik. "Sebelum unit ini ditubuhkan, IO yang perlu mengutip bukti dan melakukan siasatan. Dengan ada CSI, mereka boleh memberi tumpuan kepada membuat siasatan ke atas saksi kes, seterusnya mengesan dan menangkap suspek.



Cecair kimia yang digunakan untuk kesan cap jari dan darah. Gambar kecil, kesan air mani dalam kes rogol dikesan dengan menggunakan Crime Light dan google warna jingga.
"Kedua, ia berfungsi untuk mengumpulkan bahan bukti yang ada kaitan dengan kes dan memastikan bukti itu elok serta tidak tercemar. Tidak guna mengutip banyak benda yang ada di tempat kejadian jenayah tetapi apabila diperiksa ia tidak membawa apa-apa nilai kepada siasatan. "Oleh itu, anggota CSI tidak boleh terburu-buru terus mengumpulkan bukti. Sebaliknya, mereka perlu merenung dan membayangkan jenayah untuk mendapatkan gambaran bagaimana kemungkinan ia berlaku. Kemudian barulah mula mengumpul bukti yang dirasakan berkaitan. "Selain meneliti keadaan mayat secara luaran, pemeriksaan persekitaran tempat kejadian untuk mendapatkan bahan bukti yang berkualiti, seterusnya membuat rekonstruksi (gambaran semula) kejadian adalah tugasan utama kami," katanya yang sudah berkhidmat di Makmal Forensik itu sejak Mac 2002. Dalam kes bunuh diri sebagai contoh, beliau berkata, unit CSI akan dipanggil ke tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan dan jika dalam penelitian mereka mendapati kes itu atau persekitarannya mencurigakan, siasatan akan dibuat sama ada ia kes bunuh diri atau dibunuh. Beliau berkata, petugas CSI mestilah seorang anggota polis tetapi keutamaan diberikan kepada mereka yang mempunyai kelulusan dalam bidang sains seperti kimia, biologi, fizik dan sains forensik.



"Ia bertujuan menyediakan pegawai yang mempunyai asas dalam bidang sains untuk menjalankan siasatan secara saintifik. PDRM menyediakan kursus untuk anggota dan pegawai CSI dari semasa ke semasa di dalam dan luar negara untuk meningkatkan kecekapan mereka. "Ketika Makmal Forensik ini mula ditubuhkan, pegawai dihantar menjalani kursus di Australia selama tiga bulan dalam bidang forensik," katanya. Ketika cara persembahannya berlainan, peralatan yang digunakan di luar dan di dalam skrin televisyen masih sama, malah cara mengumpul dan menjaga bahan bukti juga tidak berbeza. Zuraimi berkata, bagi unit CSI, menjaga tempat kejadian jenayah adalah perkara paling penting bagi memastikan bukti yang ada tidak tercemar dan tidak dipersoalkan apabila kes dibawa ke mahkamah. "Sebaik unit CSI sampai, polis biasa pun tidak akan dibenarkan berada dalam kawasan kejadian. Ia menjadi tempat kami. Penting untuk memastikan tempat kejadian tidak tercemar atau bahan bukti tidak berkaitan ada di situ. "Sebagai contoh, orang lain yang tiada kena mengena dengan kes, menghisap rokok dan membuang puntung di tempat kejadian. Kami mungkin akan mengutipnya sebagai bahan bukti. Setelah analisis dibuat, akhirnya didapati ia tidak berkaitan dan akan menjejaskan kes," katanya. Namun bagi unit CSI, kemungkinan untuk bukti atau tempat kejadian jenayah tercemar adalah tipis sekiranya pengawalan dilakukan dengan baik. "Sebagai peringatan kepada orang ramai, saya meminta mereka supaya tidak menjadi `pencemar' di tempat kejadian, dengan berkumpul dan menyaksikan apa yang berlaku seperti melihat suatu pertunjukan," katanya. Tegas Zuraimi, contoh pencemaran paling mudah ialah apabila jenayah berlaku dalam rumah dan individu yang paling awal sampai tidak begitu peka dengan kepentingan bukti, mungkin menjejaskan bukti sedia ada. "Contohnya, penemuan lebih daripada satu kesan tapak kasut di tempat kejadian boleh menjejaskan penilaian yang dibuat oleh unit CSI, sedangkan pada hakikatnya kesan itu adalah hasil kecuaian individu yang sampai awal yang tidak peka dengan pengawalan tempat kejadian," katanya. Bagaimanapun, katanya, jika mangsa masih hidup apabila polis sampai, tanggungjawab utama ialah menyelamatkan mangsa dengan meminimumkan pencemaran di tempat kejadian. "Sebagai contoh, mangsa yang ditikam atau ditembak mengalami pendarahan teruk. Anggota polis yang paling awal tiba dikehendaki menyelamatkan mangsa walaupun pada masa sama terpaksa memijak darah atau mengalih mangsa atau dengan menghubungi ambulans. Malah dalam sesetengah kes, ambulans dan pasukan paramedik lebih dulu sampai daripada unit CSI. "Bagaimanapun, pada masa ini, banyak kursus berkaitan fungsi Pegawai Pertama Tempat Kejadian dianjurkan oleh pihak Makmal Forensik PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di seluruh negeri bagi menambahkan pengetahuan berkaitan pentingnya pengawalan di tempat kejadian. Menyentuh masa yang diambil untuk memproses tempat kejadian, Zuraimi berkata, ia terpulang kepada bentuk jenayah itu sendiri. Kadangkala siasatan mengambil masa seawal 1 hingga 2 jam dan ada kalanya mengambil masa berhari-hari. Kadangkala tempat kejadian perlu dilawati semula sekiranya IO mendapat petunjuk baru dalam menjalankan sesuatu siasatan. Dalam satu pasukan CSI, ada lima anggota iaitu ketua pasukan, pelukis rajah kasar, jurufoto, pencatat dan pengumpul barang kes. Sekiranya ada kes yang memerlukan kehadiran pakar, pakar patologi dan Bomb Tech (pakar letupan) akan dipanggil untuk membantu siasatan. Mengenai kadar penyelesaian kes jenayah, Zuraimi berkata, ia sukar diukur kerana kebanyakan kes masih dibicarakan. Namun baginya, kemampuan anggota CSI menunjukkan sesuatu bukti dengan positif adalah satu kejayaan. "Sukar mencatatkan kadar kejayaan kes kerana ia masih dibicarakan tetapi apabila dapat mengaitkan suspek berada di tempat kejadian dengan bukti yang ditemui, bagi saya itu satu kejayaan. Berjaya atau tidak memenangi kes itu pula bergantung kepada faktor lain seperti keterangan saksi dan perkara lain. "Kadang-kadang kesilapan teknik boleh menggugat kes dan disebabkan itu, anggota CSI amat berhati-hati supaya cara pengumpulan dan pemeriksaan bukti tidak boleh dipertikai," katanya. Selain kes bunuh, unit CSI turut bertanggungjawab membawa penjenayah kejadian rompakan, samun, pecah rumah dan rogol ke muka pengadilan melalui bukti yang ditinggalkan di tempat kejadian.

Misteri: Ribut kepala gajah


Oleh Mohd Azis Ngahazis@bharian.com.my
Kedudukan batu secara menegak di air jeram berbentuk kepala gajah, manakala lubang pada batu seakan mata gajah.


Ribut dan hujan tiba-tiba saja datang dan pokok di jeram Batu Gajah bergerak ke kiri dan kanan seolah-olah mahu tumbang "ALANG dah sampai sini, kita mesti jenguk Jeram Batu Gajah. Tempatnya menarik tetapi sekarang orang sudah tak ke sana, semak dan tidak terjaga. “Dulu ketika zaman persekolahan, saya selalu lepak di situ dengan kawan, orang kata itu tempat tuan puteri mandi. Rambut panjang mengurai, duduk atas jeram, rambut sampai ke jeram paling bawah,” kata teman penulis, Enal, penduduk asal di Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan.

Berderau darah penulis apabila Enal mengatakan ia tempat mandi tuan puteri. Tetapi perasan takut diketepikan kerana niat kami cuma datang untuk melihat sendiri keunikan batu berbentuk gajah, merakam gambar untuk berkongsi pengalaman dengan pembaca. Ketika tiba di situ, waktu sudah menunjukkan jam 5 petang. Kami dibawa ke sebuah rumah seorang penduduk di situ untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai cerita lisan bagaimana batu kepala gajah itu terbentuk. Ada yang mengatakan ia disumpah mitos Sang Kelembai, tetapi setakat mana kebenarannya mungkin boleh diselidiki melalui temubual dengan beberapa ‘orang lama’ di situ. Malangnya, seorang lelaki warga emas yang ditemui itu tidak mempunyai maklumat yang diinginkan.
Kami diminta ke sebuah rumah lain, katanya di situ masih ada seorang tua yang tahu latar belakang cerita berkenaan. Namun, bukan rezeki kami, orang tua itu tidak berapa sihat dan kami tidak mahu mengganggunya. Akhirnya, keputusan sepakat dicapai, kami bertiga bergerak sendiri ke kawasan berkenaan. Alasannya, merakam seberapa banyak gambar dan kemudian dapatkan maklumat. Kami menuju ke sebuah rumah di hujung kampung, paling hampir dengan kawasan jeram. Selepas memberi salam, seorang lelaki pertengahan umur muncul dan difahamkan beliau seorang guru. Dengan izinnya kami dibenarkan melintasi pagar di belakang rumahnya. Pada mulanya, cikgu berkenaan menuruti perjalanan kami tetapi selepas beberapa langkah, beliau membatalkan niat dengan alasan masih ada kerja lain perlu dilakukan.
Itu bukan masalah, kami teruskan perjalanan dan selepas hampir 20 minit berjalan kaki meredah semak dan kawasan hutan, kami tiba ke destinasi. Memang menarik dapat melihat sendiri batu berbentuk kepala gajah itu. Rakan setugas sibuk merakam gambar. Terlintas di fikiran penulis, mungkin gambar itu lebih menarik jika diselitkan individu berada di atas kepala gajah itu. Sudah tentu, penulis yang perlu ke sana. Dengan langkah berhati-hati, penulis menuruni batu curam menuju ke batu gajah dengan tujuan untuk duduk dan menunjukkan lokasi kedudukan kepala gajah. Batu berbentuk kepala gajah itu dianggarkan sebesar kepala trak lori, lengkap dengan mata, telinga, mulut dan belalai. Air terjun mengalir di antara belalainya. Menariknya, kepala gajah dewasa itu tanpa gading, mungkin terbenam dalam batu atau belum terbentuk, tetapi penduduk tempatan percaya ia ada kaitan dengan satu lagi jeram tidak jauh dari situ yang dinamakan Jeram Gading. Namun, di Jeram Gading, pengunjung tidak akan menemui batu berbentuk seakanakan gading dan tidak pasti bagaimana ia mendapat nama. Mungkin ia sudah terhapus atau kedudukannya gagal dikesan oleh mata kasar. Kedudukan batu kepala gajah itu boleh dilihat dari dua sisi. Jika dilihat dari sisi kiri, kelihatan seolah-olah kepala gajah sedang terbaring dengan matanya terbuka. Air terjun di jeram kecil itu mengalir melalui belalai dan mulutnya, tetapi jika dilihat dari sisi kanan, batu itu kelihatan seperti kepala seekor gajah yang berdiri, seolah-olah marah dengan telinganya agak kembang dan belalainya hampir menegak. Walaupun dilihat dari dua sisi kiri dan kanan, kedudukan mata tidak berubah dan tetap sepadan. Mata gajah sebesar pinggan itu dikatakan sentiasa dipenuhi air dan tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau.
Penulis mencecahkan tangan ke dalam lubang ‘mata gajah’, dengan niat untuk aksi merakam gambar. Dibuang sampah daun di dalamnya dan kemudian naik semula ke tempat asal. Rakan setugas mencadangkan supaya penulis turun semula ke situ untuk mendapatkan sudut gambar lebih menarik. Ketika turun kali kedua, penulis sekali lagi mencecahkan tangan ke dalam ‘mata gajah’, tiba-tiba air terpercik ke mata, sangat pedih. Terdetik di hati mungkin air jeram terpercik ke mata, namun air terus memercik ke mata buat kali kedua dan ketiga. Dari mana datangnya air itu sukar dipastikan, cuaca cukup cerah, langsung tiada tanda hari mahu hujan. Penulis pantas naik semula ke tebing. Secara tiba-tiba cuaca bertukar gelap, angin kencang melanda kawasan itu seolah-olah hujan ribut akan turun. “Jom kita balik. ‘Mereka’ suruh kita balik,” kata rakan setugas. Belum sempat kami beredar walaupun setapak langkah, hujan begitu lebat, angin kencang dan pokok bergerak ke kiri dan kanan seolah-olah akan tumbang. Kami bertiga pantas turun ke kawasan rendah dalam keadaan basah kuyup. Ketika turun dalam keadaan kelam kabut itu, kami ternampak satu pokok yang mempunyai paku pakis yang tersusun kemas di antara tiga dahan, ada yang menggelarnya pakis langsuir. Terdetik di hati, adakah ini tempat ‘tuan puteri’ seperti yang dikatakan Enal sebelum kami masuk ke situ.

Kekejaman Bintang Tiga











Bau hanyir darah, sungai jernih bertukar merah, mayat bergelimpangan DITANGKAP dan disembelih hidup-hidup, darah menyembur keluar dari leher yang hampir putus, tubuh terangkat ke atas dan menggelepar menahan seksa sakratulmaut. Bunyi geruh menarik nafas akhir amat gerun dan memilukan. Tidak cukup dengan itu, walaupun batang tubuh sudah tidak bergerak dan basah bermandi darah, dagingnya ditakik pula sebelum dibakar dan dihumban ke dalam lubang sedalam paras paha. Perbuatan kejam dan di luar peri kemanusiaan itu adalah gambaran kekejaman komunis yang bermaharajalela ketika era darurat dari 1948 sehingga 1960.

Bagi Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri menyifatkannya sebagai tindakan membalas dendam Parti Komunis Malaya (PKM) yang juga dikenali Bintang Tiga terhadap individu yang disyaki menjadi tali barut tentera Jepun. Tentera Jepun menguasai negara ini untuk tempoh tiga tahun lapan bulan. “Jepun menyerah kalah selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom pada 6 Ogos 1945. Sebaik mendapat khabar, komunis keluar daripada tempat persembunyian di hutan dan menunjukkan kekuatan dengan membunuh sesiapa saja yang dipercayai bersekongkol dengan Jepun,” katanya. Gambaran kekejaman Bintang Tiga dijelaskan beliau pada ceramah program Bicara Tokoh Darurat sempena pameran Darurat-Rentetan Sejarah 1948-1960 anjuran Muzium Negara yang berlangsung dari 30 Jun hingga 30 Ogos lalu.
Shafie berkata, keadaan huru-hara di Malaya ketika itu menyebabkan hubungan antara kaum tegang biarpun keanggotaan PKM bukan di kalangan kaum Cina saja. “Hubungan antara kaum ibarat paku berselirat. Mereka terlalu berhati-hati baik dalam pergaulan mahupun percakapan kerana takutkan musuh dalam selimut. “Si penjual sayur yang berjaja setiap pagi menjadi pembelot pada malam hari apabila membawa PKM mengepung kediaman penduduk yang lancang mengkritik komunis,” katanya. Disebabkan tidak mahu ditimpa kesusahan, masyarakat ketika itu rela bergelap dan berkurung di rumah biarpun Maghrib belum menjelang. Shafie berkata, ancaman PKM tidak dihadapi orang Melayu saja, bahkan ada kaum Cina terutama suku Tionghua selalu menerima ugutan, diganggu malah harta mereka dirampas menyebabkan mereka memilih mendiami kawasan pinggir hutan.

Perang Vietnam memburukkan keadaan kerana memberi ilham untuk menghasilkan jerangkap samar atau bobby trap kepada pengganas komunis. Pemberontakan komunis ketika ini di seluruh dunia melalui fasa kedua dengan melakukan serangan lebih agresif dan membunuh. “Permatang (laluan) tentera dan polis dipasang jerangkap samar menyebabkan ramai anggota keselamatan terkorban, kudung kaki dan tangan. Pemilik ladang dan lombong dikelar, tanaman getah ditetak, manakala kereta api yang membawa hasil komoditi itu diserang, diterbalikkan dan dibakar. Hakikatnya, ini cara komunis melumpuhkan ekonomi negara,” katanya. Namun, kata Shafie, kekejaman komunis meragut kesabaran rakyat, terutama orang Melayu apabila balai polis diserang, dibakar dan menagih korban bukan saja di kalangan anggota bertugas, bahkan anak isteri dibunuh tanpa belas kasihan. Balai Polis Bukit Kepong, Kuala Krai, Simpang Pertang dan Pekeliling musnah dihujani peluru dan bom tangan membangkitkan kemarahan masyarakat,” katanya ketika mengenang semula keganasan dicetuskan anak buah Chin Peng itu. Sehubungan itu, katanya, Chin Peng tidak patut diberi peluang kembali ke negara ini biarpun perancang utama dan tulang belakang PKM itu sudah lanjut usianya. “Bagaimana kita boleh memaaf dan melupakan kekejaman Chin Peng ketika itu. Dia bukan saja pencetus huru-hara bahkan menyebabkan ramai pejuang negara kehilangan anggota. Betapa menyedihkan keadaan tanah air ketika itu hingga tanah berbau hanyir darah, sungai jernih bertukar merah, mayat bergelimpangan dan mereput sendiri. Jelas kelihatan hutang darah dibayar darah, jika masih ada usaha membawa pulang pengkhianat itu, kami anggota keselamatan tidak akan berdiam diri,” katanya penuh semangat. Bekas Panglima Medan Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Zaini Mohd Saidi walaupun ketika darurat masih kecil dan berusia dua tahun, namun beliau mengerti kesengsaraan dan ketakutan yang ditanggung orang sekelilingnya. “Saya membesar dalam kekalutan, hilang kebebasan bahkan lebih teruk, melabelkan suku kaum tertentu sebagai komunis. Keadaan ketika itu sangat menekan perasaan sehinggakan untuk pulang ke kampung saya di Lenggeng, Negeri Sembilan dari Kuala Lumpur harus melalui tidak kurang 10 sekatan jalan raya, perintah berkurung dikenakan selepas jam 6 petang, manakala permit diperlukan bagi beras dan gula mempunyai berat lebih sekati,” katanya. Namun, paling dikesali beliau ialah kesan pemberontakan komunis yang mencipta sentimen benci di antara kaum, khususnya Melayu dan cina. “Angka korban darurat dianggarkan mencecah 2,542 orang membabitkan semua kaum terutama Melayu dan Cina. Pantang silap sikit ketika itu, akan tercetus perkelahian kaum yang berakhir dengan kematian,” katanya.










PKM di bawah pimpinan Chin Peng membiak ke angka 10,000 anggota pada akhir 60an berbanding 400 anggota asal. Matlamat awal untuk memerangi kuasa Jepun sebaliknya melahirkan gerombolan gerila yang berniat jahat menimbulkan huru-hara. “Generasi kini patut mengenang semula pahit getir perjuangan dan kesediaan anggota keselamatan berkorban nyawa demi negara. Azab dua tiga bulan berkampung di hutan tidak terungkap dengan kata-kata, namun itu sudah menjadi tugas kami untuk melindungi keselamatan rakyat,” katanya. Fahami sejarah kemerdekaan KEMERDEKAAN dikecapi hari ini bukan diperoleh secara mudah tetapi dibina dengan keringat, darah dan air mata. Penghayatan kemerdekaan tidak terhad dengan mengibarkan bendera, menganjurkan perarakan warna-warni, konsert dan menyanyikan lagu ‘Negaraku’ semata-mata tetapi sewajarnya rakyat dilatih mengenang semula perjuangan generasi terdahulu membebaskan negara daripada penjajahan, selain memahami proses bagaimana akhirnya kemerdekaan menjadi milik negara. Kependudukan Jepun yang bertunjangkan slogan ‘Asia untuk Asia’ berjaya merubah senario politik Tanah Melayu apabila British tidak lagi dianggap kuasa imperialisme kebal. Bertujuan mengembalikan maruah peribadi, namun diuar-uarkan atas nama membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman Jepun, British menjalinkan kerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 8 Disember 1940. Namun, British silap perhitungan apabila PKM yang sepatutnya menyebelahi mereka, sebaliknya bermaharajalela mengisi kekosongan ditinggalkan Jepun yang kalut dengan kemelut pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada Ogos 1946. Pengaruh fahaman komunis semakin meluas menjelang 1948. Malah, untuk merealisasikan wawasan penubuhan Republik Komunis Malaya, PKM menukarkan namanya kepada Malayan People Anti-British Army (MPABA) sekali gus menjadi platform melancarkan serangan lebih agresif untuk melumpuhkan British. Tiga peringkat strategi dirangka komunis untuk mengambil alih Tanah Melayu bermula dengan menghasut kesatuan sekerja mengadakan mogok. Usaha ini gagal apabila British meluluskan Trespass Law (undang-undang pencerobohan) yang menyekat kesatuan memasuki ladang bagi tujuan berceramah dan menstruktur organisasi pekerja. Ordinan persatuan yang mewakili pekerja juga dipinda dan dikemaskini pada 12 Jun 1948 iaitu mewajibkan semua kesatuan sekerja mendaftar dengan pihak berkuasa. Strategi kedua PKM ialah menguasai bandar kecil, seterusnya mendirikan markas PKM yang diisytiharkan British sebagai kawasan putih. Bagi memastikan dasar dan rancangan mereka berjalan lancar, Gerakan Rakyat (Min Yuen) berciri serampang dua mata ditubuhkan. Gerakan Rakyat ini bertanggungjawab membekalkan makanan kepada ahli PKM yang melarikan diri ke dalam hutan selepas pengharaman parti itu, selain mengumpul maklumat berkaitan strategi kerajaan menghapuskan mereka. Pemberontakan bersenjata terkandung dalam strategi terakhir. Melaluinya, anggota dilatih menguasai taktik perang gerila, selain menubuhkan unit kecil berfungsi menakutkan penduduk Tanah Melayu membabitkan pertumpahan darah warga British dan sekutunya. Kekejaman demi kekejaman yang dilakukan memaksa British mengambil pendekatan drastik mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948. Meskipun darurat menyusahkan rakyat kerana mengekang pergerakan, mengorbankan banyak nyawa serta menyebabkan kerosakan harta benda, dari perspektif lain, insiden darurat sebenarnya mempercepatkan lagi proses memerdekakan Tanah Melayu apabila British bersetuju ia ditadbir anak tempatan. Info Kes keganasan komunis





Serang hendap di Kelian Intan - 10 September 1947 Peristiwa berlaku pada jam 7.30 pagi membabitkan serangan pengganas ke atas sebuah lori dan dua bas yang membawa anggota polis. Tiga anggota polis dan enam orang awam terkorban, manakala dua mata-mata polis serta 12 orang awam cedera parah. Segerombolan pengganas komunis dikatakan melepaskan tembakan bertubi-tubi selama 10 minit, merampas harta penumpang dan mengacukan senapang kepada mereka.

· Pembunuhan di Sungai Siput, Perak - 16 Jun 1948 Tragedi ini mengorbankan tiga pengurus ladang berbangsa Eropah iaitu T.G Christian, A.E Walker dan J.M Allison. Pembunuhan ini menggemparkan penduduk tempatan, seterusnya penyebab kepada pengisytiharan Undang-undang Darurat di Perak. Ia adalah pengumuman darurat pertama sebelum ia diperluaskan di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948. Pembunuhan ini disifatkan sebagai kemuncak keganasan komunis yang mula berleluasa sejak tamat Perang Dunia Kedua di negara ini.





· Serangan ke atas kampung Jeram Choh, Johor - 18 Jun 1948 Ia dilakukan kira-kira 20 pengganas komunis lengkap bersenjata. Kemuncak kejadian ialah serangan ke atas balai polis yang menyebabkan kerajaan mengalih langkah mengumumkan perintah darurat berkuat-kuasa serta-merta.





· Tragedi lombong Batu Arang, Selangor - 12 Julai 1948 Lombong ini ditawan komunis sebagai strategi melumpuhkan ekonomi negara. Ia bukan saja mengakibatkan operasi kilang terhenti, malah seluruh kilang dimusnahkan manakala lima pekerja berbangsa Cina terkorban.





· Sabotaj ke atas kuari Sungai Gepai, Tapah, Perak - 19 Januari 1950 Serangan membabitkan kira-kira 20 pengganas itu memusnahkan beberapa kenderaan dan peralatan kuari.





· Serang hendap di Seberang Perai - 22 Januari 1950 Serangan ini mengorbankan lapan anggota polis termasuk seorang sarjan Inggeris manakala enam anggota polis Melayu cedera parah.





· Serangan di Kampung Simpang Tiga, Setiawan, Perak - 4 Februari 1950 Kira-kira 80 pengganas komunis menyerang dan membakar kampung yang mengakibatkan 1,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda.





· Peristiwa Bukit Kepong - 23 Februari 1950 150 pengganas komunis yang diketuai Mat Indra menyerang balai polis pada jam 4.30 pagi. Tragedi memilukan ini mengorbankan 23 mangsa membabitkan 13 anggota polis, enam pengawal kampung, tiga wanita dan seorang kanak-kanak.
· Serang hendap di Sungai Semur, Kelantan - 25 Mac 1950 Pertempuran antara kira-kira 250 pengganas komunis dengan platun Kompeni D Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja berjumlah 25 orang. Serangan berlaku pada jam 10.30 pagi ketika platun berkenaan menyusuri sungai. Sejumlah 17 orang anggota tentera terbunuh dengan lapan cedera.





· Pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Henry Gurney di Batu 56 1/2, Jalan Kuala Kubu Bharu, Bukit Fraser - 6 Oktober 1951 Sir Henry, Pesuruhjaya Tinggi British pada 1948 hingga 1951 diberi tanggungjawab membanteras ancaman komunis di Tanah Melayu. Dia dan isteri ditembak mati ketika dalam perjalanan ke Bukit Fraser dari Kuala Lumpur untuk bercuti.





· Serang hendap kereta api, Tampin, Negeri Sembilan - 14 November 1951 Serangan ini mengorbankan empat orang awam, termasuk pemandu kereta api, K Vettivelu. Kejadian berlaku pada waktu malam ketika kereta api berkenaan berada kira-kira sebatu dari Tebong berhampiran Tampin. Sabotaj dilakukan dengan mengalihkan landasan mengakibatkan kereta api tersasar, manakala sebahagian gerabak terbabas serta tergelincir kira-kira 10 meter ke bawah landasan. Kereta api itu ditembak bertubi-tubi sekali gus mencederakan 20 penumpang.





Antara mangsa terselamat, termasuk Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dan isteri serta dua putera baginda.





· Pokok getah seluruh Tanah Melayu ditetak (1948 - 1951) Ia adalah tindak balas pengganas komunis terhadap pemilik ladang yang enggan bekerjasama dengan mereka. Perbuatan menetak pokok juga bertujuan melumpuhkan ekonomi yang ketika itu banyak bergantung kepada hasil pengeluaran getah.

Thursday, September 3, 2009

VAT 69 digeruni komunis




SALLEHUDDIN (berdiri kiri) bersama pasukannya selepas melaksanakan satu operasi di Sarawak.

Peristiwa 'bos' ASP Mohd Zabri terkorban akibat terpijak jerangkap samar masih dalam ingatanTAHUN ini genap 40 tahun penubuhan pasukan elit Pasukan Polis Hutan (PPH) 69 atau VAT 69. Kisah perjuangan, suka duka, perit maung skuad kebanggaan nusa bangsa sering menjadi ingatan dan sama sekali tidak dilupakan. Terlalu banyak kenangan yang tidak boleh dibiarkan kerana satu ketika dulu nama VAT 69 yang ditubuhkan pada 23 Oktober 1969 cukup ditakuti komunis.

Skuad itu digelar komunis sebagai ‘Lok Kow’ bermaksud 69 dan digeruni kerana kehebatan mereka menjejak pengganas dan bertempur di hutan. Hakikatnya, menjejaki komunis di hutan belantara memang sukar. Mereka juga mempunyai pasukan risikan, mendapatkan maklumat mengenai pasukan keselamatan yang memburu mereka. Menariknya, bagi pasukan VAT 69, mereka sentiasa diajar supaya berfikir bagaimana menjadi komunis, bagaimana bertindak melarikan diri dan mendapatkan maklumat kerana melalui pendekatan itulah lebih mudah mereka menjejak pengganas.



Melalui pendekatan itu, mereka mempunyai kelebihan dan lebih bijak mengatur gerak sekali gus menggerunkan pengganas kerana gerak langkah mereka adalah hampir sama. Sudah pasti kumpulan awal penubuhan VAT 69 dianggap pelopor kejayaan gemilang mereka. Seorang pemimpin VAT 69 yang dianggap pakar taktikal dan cukup digeruni komunis ialah Allahyarham Asisten Superintendan (ASP) Mohd Zabri Abdul Hamid yang dianggap perwira paling dikenang dalam pasukan elit berkenaan. Beliau terkorban akibat terkena jerangkap samar selepas pasukannya memenangi satu pertempuran di Hulu Perak, Perak pada 1975 dan sebagai tanda memperingati jasanya, sebuah kem latihan Komando 69 PGK di Tasik Banding, Grik, Perak dinamakan sebagai Kem Zabri. Menyingkap kisah tragis itu, seorang anggota VAT 69 yang terbabit dalam pertempuran itu, Sallehuddin Omar, 58, menegaskan peristiwa itu seolah-olah berlaku semalam dan semangat perjuangan rakan sepasukan tidak pernah pudar hingga ke hari ini.



Namun, mereka tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih ketika Zabri yang digelar ‘bos’ oleh anak buahnya menghembuskan nafas terakhir. Semuanya menitiskan air mata kerana kehilangan pemimpin disayangi. Hingga kini, jika bercerita mengenai Zabri, pasti menitiskan air mata. Detik perjuangan mereka bermula apabila tiga patrol diketuai Ismail Daud, ‘Mail Rantai’, Wan Tahar dan Sheikh Ismail, ditugaskan menggagalkan cubaan komunis meletupkan satu empangan di Perak. Selepas hampir tiga bulan berada di hutan, satu pasukan bantuan ditugaskan menghantar bekalan makanan. Malangnya, empat anggota yang menaiki bot diserang hendap dan dibunuh kejam dengan mayat mereka dikelar dengan pisau oleh komunis. Pasukan VAT 69 kemudian mengesan kedudukan khemah musuh berhampiran Grik pada 3 September 1975. Sebelum itu, mereka kehilangan jejak komunis dan ketika tiba di satu kawasan tanjung untuk mendapatkan bekalan air bersih, penjejak laluan ternampak musuh di kawasan sama. Serentak itu, tiga patrol terdiri daripada 18 orang bergabung dalam barisan panjang, semua berpecah mengambil kedudukan bertempur hebat dengan komunis dianggarkan antara 30 hingga 40 orang. Pertempuran itu mengorbankan 18 orang dan dua anggota VAT 69 parah iaitu Aziz Idris dan ketua patrol, Sheikh Ismail. “Peluru bertaburan macam hujan, nak angkat kepala pun tak boleh, peluru lalu atas kepala. Kami menyerang guna bom tangan. Selepas 45 minit bertempur, terdengar jeritan ‘bawa ke sungai’ dan kami percaya komunis bawa lari rakan tercedera ke laluan sungai supaya jejak sukar dikesan,” katanya. Ketika bertempur, operator perhubungan, Ahmad Dahlal Hashim, mendapatkan bantuan Zabri yang ketika itu mengetuai pasukan lain di kawasan berdekatan. Disebabkan hujan lebat dan jaraknya jauh, pasukan Zabri tiba di kawasan pertempuran pada awal pagi keesokannya. Selepas pertempuran selesai, VAT 69 menemui bekalan termasuk senjata dan makanan dan merampas rampas bom, pelancar roket, makanan dipercayai untuk projek khas meletupkan empangan. Sebaik tiba, Zabri mengarahkan pasukan menghala ke tempat pendaratan helikopter yang jaraknya kira-kira sehari perjalanan bagi mengeluarkan anggota tercedera mendapatkan rawatan. “Zabri arahkan kami jangan mengejar komunis kerana bimbang terkena perangkap samar dan minta tumpukan kepada misi membawa anggota keluar. Beliau sering mengingatkan jangan sesekali tersalah langkah terpijak jerangkap samar yang biasa dipasang di denai binatang. “Komunis gunakan jerangkap bom dipasang bateri, dibungkus plastik supaya tidak rosak dan tahan lama. Malangnya ketika dalam perjalanan, Zabri sendiri yang terkena. Beliau bersama penjejak Orang Asli, Bahuda berada di depan, manakala penjejak Apot, berada di belakang kerana kepenatan bertempur. “Ketika melintasi kawasan sungai, mungkin Zabri terlupa dan memang ajalnya sudah tiba, beliau terpijak akar kayu yang dipasang perangkap bom. Letupan kuat berlaku dan saya dengar Mail Rantai jerit ‘habislah...bos dah kena’ “Bos putus kaki kanan, tetapi masih sedarkan diri, darah banyak mengalir. Walaupun kesakitan, beliau tetap semangat, masih fikirkan pasal berjuang, naikkan semangat anak buah supaya tidak mudah menyerah,” katanya. Mereka membuat keputusan melalui laluan lain kerana percaya komunis akan menunggu di mana-mana tempat dan akan menyerang ketika dalam perjalanan. Zabri dibawa keluar menggunakan pengusung dan pakar perubatan pasukan, Abdul Rahman Sabden, merawatnya sepanjang perjalanan. “Bos menghembus nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke tempat helikopter. Ketika itu, semua anggota kaku, menangis, tak tertahan melihat ketua yang dedikasi, bersemangat meninggalkan kami. Hingga sekarang kami akan kenang kejadian itu,” katanya. Ketika tiba di tempat pendaratan helikopter, mereka mendapat bantuan daripada Rejimen Komando Gerak Khas (RGK) dan pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat serangan udara di tempat disyaki. Anggota keselamatan yang berada dalam hutan dikumpul di tempat selamat dan serangan udara berlaku dua jam tanpa henti. Pasukan RGK kemudian meneruskan operasi darat bagi menghapuskan saki baki komunis di kawasan berkenaan. Info:

Anggota Platun 1 ke platun 2
· Jamil Othman
· Ahmad Dahalal Hashim
· Chin Hajeed
· Che Meh (Allahyarham)
· Abu Seman
· Sallehuddin Omar

Anggota Platun 1 ke platun 3.
· Mohd Zahid Shamsuddin
· Rasidi Jamaluddin
· Ibrahim Che Mat
· Abd Aziz Idris (Allahyarham).
Persatuan Veteran VAT 69 Komando Ulu Kinta, Perak (05-5288445)

Troli Tenom

Oleh Hassan Omar hassanomar@bharian.com.my

9 kampung putus hubungan: 2,000 penduduk sukar pasarkan hasil pertanian dan sayur-sayuran di pekan Tenom JIKA di bandar, masyarakat mudah menikmati pengangkutan persendirian atau awam. Hakikatnya nun di pelosok pedalaman, pengangkutan adalah antara rencam kehidupan yang amat memeritkan. Bagi penduduk di pedalaman Tenom, Sabah, kereta api diesel yang beroperasi sejak 1970 adalah nadi kehidupan mereka setiap kali mahu ke pekan Tenom. Kereta api yang menggunakan enjin Hitachi 5101 milik Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) itu adalah satu-satunya pengangkutan awam yang membawa mereka keluar dari kawasan dikelilingi hutan.

Setiap kali kereta api memulakan perjalanan dari Stesen Kereta Api Tenom ke Stesen Kereta Api Beaufort sejauh 49 kilometer, penduduk kampung di sepanjang landasan berkenaan tidak melepaskan peluang untuk menggunakannya untuk ke pekan Tenom atau Beaufort. Bagaimanapun, tragedi pada jam 3 petang, 9 April 2008 menyebabkan mereka tidak lagi menikmati perkhidmatan itu. Dua terbunuh manakala 24 lagi cedera, termasuk tiga parah apabila kereta api yang mereka naiki terjunam ke dalam Sungai Padas di Kampung Tenom Lama. Selama enam bulan, mereka tidak dapat menaiki kereta api berikutan kerja membaik pulih landasan yang dilaksanakan JKNS.

Penduduk kampung di sepanjang landasan dari Stesen Kereta Api Tenom-Kampung Rayoh terpaksa menggunakan troli untuk berulang alik ke pekan Tenom.
Dalam tempoh itu, mereka terpaksa berjalan setiap kali ingin ke pekan Tenom atau Beaufort. Bagaimanapun, berdasarkan rayuan penduduk, JKNS memulakan semula perkhidmatan kereta api dari dua arah, iaitu Stesen Kereta Api Tenom-Kampung Rayoh dan Stesen Kereta Api Beufort-Kampung Halogilad. Bagaimanapun, mereka sekali lagi dihimpit kesukaran apabila JKNS menghentikan perkhidmatan kereta api Stesen Kereta Api Tenom-Kampung Rayoh berikutan tebing Sungai Padas mengalami hakisan teruk akibat banjir pada Disember lalu. Landasan yang bergerak seiring dengan tebing Sungai Padas perlu dibaik pulih, manakala tebing sungai yang terhakis perlu diperkukuh melalui kerja pembaikan. Sejak Januari lalu hingga kini, kira-kira 2,000 penduduk di sembilan kampung terpaksa mencari alternatif pengangkutan untuk membawa hasil pertanian seperti getah, pisang, koko dan pelbagai jenis sayur-sayuran untuk dipasarkan di pekan Tenom.


Penduduk terpaksa mengangkat troli ketika melalui landasan yang terputus dan dibaik pulih untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Stesen Pangi.




Terdesak dengan ketiadaan alat pengangkutan, mereka menggunakan kreativiti sendiri dengan membina troli untuk digerakkan di landasan kereta api. Penduduk Kampung Tenom Lama, Masisilau, Pangi Seberang, Motolob, Stesen Pangi, Kelandos, 78, 75 dan Rayoh yang terputus hubungan dengan dunia luar, terpaksa menggunakan troli untuk ke pekan Tenom. Meskipun terpaksa bermandi peluh dan menahan lenguh, penduduk yang rata-ratanya hidup di bawah paras kemiskinan terpaksa mencipta troli diperbuat daripada papan berukuran 2.17 x 2.17 meter dengan jarak antara roda dengan roda 0.89 meter untuk menyambung kehidupan. Di atas troli itulah, mereka menujah kayu ke tanah untuk membolehkan troli meluncur di landasan bagi perjalanan di antara tiga hingga 15 kilometer (km) dari Stesen Kereta Api Tenom ke destinasi terakhir iaitu Kampung Rayoh. Mereka tidak pernah menikmati kemudahan jalan berturap, apatah lagi jalan raya. Dengan mengumpul kudrat empat kerat, mereka menguatkan tekad menolak troli dengan peluh menyimbah di bawah terik matahari. Bagi perjalanan dari Stesen Kereta Api Tenom ke sembilan kampung itu, mereka mengerah tenaga selama kira-kira dua jam meniti landasan menuruni bukit. Keperitan itu kian menghimpit setiap kali mereka mendaki bukit sebelum tiba di pekan Tenom dalam tempoh tiga jam. Perit-jerih mendaki bukit menyebabkan mereka terpaksa turun dari troli untuk menolak alat pengangkutan itu. Setiap kali bertembung dengan pengguna troli dari arah bertentangan, diplomasi dan kesabaran tahap tertinggi dituntut supaya tiada yang berkecil hati. Pengguna troli yang tidak membawa barang, penumpang anak kecil atau warga emas, harus mengalah untuk turun dari troli dan mengangkat papan beroda itu bagi memberi laluan kepada pengguna lain. Dengan troli itulah, mereka membawa getah keping atau sekerap, selain hasil pertanian yang lain ke pekan Tenom. Selesai menjual getah atau hasil pertanian, lazimnya mereka membeli barangan makanan untuk dimuatkan di atas troli. Keringat yang membasahi tubuh setiap kali menolak troli adalah rencam kehidupan masyarakat jauh di pedalaman Tenom. Walaupun terpaksa mengharungi kesukaran dan penderitaan, hidup mesti diteruskan. Jauh di sudut sanubari mereka mengharapkan agar kerja membaiki landasan oleh JKNS segera disiapkan.
DARI INTERNET © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute